Futur ataupun terhenti dalam menjalankan aktiviti dakwah; menyeru kepada kebaikkan dan mencegah kemungkaran, sudah seringkali kita dengar dan lihat dengan mata dan telinga kita sendiri.
Begitulah keadaan para pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi. Ya memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan kita akui kadang-kala turun dan kadang-kala meningkat.
Begitu juga dengan iman kita, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Bukhari dalam sebuah riwayat, beliau berkata, “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”
Imam Ahmad pernah ditanya tentang makna bertambah dan berkurangnya iman? Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib, dia berkata:
“Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, menyia-nyiakan-Nya maka itulah berkurangnya” - (Aqidatus-Salaf wa Ashabul-Hadis, hlm:265-266)
Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus dari melakukan dakwah adalah perkara yang amat mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan adalah untuk menjadikan khalifah di bumi. Dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan, dan mencegah perkara-perkara yang mungkar.
Firman Allah,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-Imran 3:104)
Kita akui bahawa aktiviti dakwah ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan tribulasi akan mendatang bagi memadam aktiviti dakwah ini dari terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam sebuah artikel beliau yang bertajuk bertajuk kewajipan generasi muda islam hari ini.
Kata beliau, “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan-rintangan itu sehingga dalam rumah-rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabat-sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: “mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”
Namun, adakah kekangan-kekangan ini yang menjadikan kita berduka-cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran-ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran?
Malahan Allah menggelar para penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia.
Firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.
Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri, bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam masa yang sama jangan sekali lagi membiarkan diri kita untuk tidak dipercayai oleh malaikat, sepertimana yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah 2: 30)
Teruskanlah berpesan-pesan kepada kebaikan, dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, merasa nikmat Iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri, Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat tersebut iaitu Iman dan Islam kepada seluruh manusia.
Rugilah sesiapa yang menikmati Iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat tesebut dengan menjalankan aktiviti dakwah. Sepertimana firman Allah,
“Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (al-Ashr 103: 2-3)
Bagi para pendakwah yang masih tetap berdegil untuk futur atau berhenti dari jalan dakwah ini, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali.
“Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”
Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar yang berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi yang menjalankan aktiviti dakwah, mereka telah futur dalam gerakan dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Adakah hal sedemikian kita mahu ia berlaku sekali lagi pada diri kita?
Ayuh semua, kita rapatkan saf, kita kukuhkan jentera kekuatan, kita kuatkan semangat. Agenda dakwah ini tidak harus terhenti, kerana agenda ini adalah tugas yang cukup mulia.
Para Nabi dan Rasul telah melaksanakan kewajiban dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua. Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh dari jalan dakwah ini kerana pertolongan Allah dekat dengan kita.
Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan dari Allah. Firman Allah,
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
SEBAR NIKMAT IMAN & ISLAM
SUNNAH BERSIWAK
Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan,malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wudhuk,kebersihan pakaian dan tempat ibadat.Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani,sehingga pakaian,kediaman dan persekitaran,harus dipastikan bersih.Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.
Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:
"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah(sunnah);memotong misai,memelihara janggut, bersugi,memasukkan air ke hidung,memotong kuku,membasuh sendi-sendi,mencabut bulu ketiak,mencukur bulu ari-ari,bersuci dengan air(beristinja)."
(Hadis riwayat Muslim)
Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi,kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:
"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku,aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi(menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."
(Hadis riwayat Muslim)
Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi,dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam,bahkan baginda menyatakan:
"Bersiwak itu menyucikan mulut,diredhai Tuhan dan dibenci syaitan."
Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi,dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi,paling kurang dua kali sehari.Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:
"Nabi bersiwak(menggosok gigi)pada permulaan siang dan akhirnya."
Namun,kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari.Sehubungan dengan ini,Amir bin Rabiah melaporkan:
"Aku melihat nabi menggosok gigi(berulang-ulang kali)sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)
Ulama' terkenal Arab Saudi,Syeikh M S Al-Munajjid,berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.Menurutnya,satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf(silam)seperti Ishaq ibn Rahawayh,berpendapat ia kewajipan.
Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak,kerana baunya harum,malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh,tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.Jika bahan itu tidak diperoleh,mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.
Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak(salvadora persica)berlaku sejak berkurun yang lalu,kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.Justeru itu,Pertubuhan Kesihatan Dunia(WHO)dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi.Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit,apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.Malah,penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok,sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan,selain bahan antiseptik,astringen,pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).
Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut.Waktu melakukan siwak,iaitu:
1.Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.
2.Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga.Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:
"Apabila baginda memasuki rumah,perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
(Hadis riwayat Muslim)
3.Apabila bangun dari tidur.
Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
4.Apabila bau mulut seseorang berubah,sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.
5.Ketika ke masjid.Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat.Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf,maksudnya:
"Wahai anak-anak Adam!Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat(sembahyang)."
6.Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.
Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa,cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari,dengan sesetengahnya mengatakan makruh.Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak.Satu pendapat,iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:
"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut,turun (dari untanya),apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."
Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah,jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri.Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat,apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah,dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran,sepatutnya dengan tangan kiri.
Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w,ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.
SENAMAN UNTUK TULANG
JANGANLAH malas,bangun dan bersenam! Perkara pertama yang terlintas di fikiran anda bila menyentuh tentang tulang pastinya kalsium.Tetapi untuk mencapai tulang yang sihat anda tidak boleh sekadar mengambil nutrien yang cukup.Melakukan senaman yang betul juga penting untuk menguatkan tulang!
Sebenarnya,selain kuat,tulang juga fleksibel.Inilah sebabnya ahli gimnastik boleh melentur badan hingga ke bentuk yang tampak mustahil tanpa mematahkan tulang mereka! Tulang adalah tisu hidup,jadi ia terus bertindak kepada tekanan dari aktiviti yang dikenakan ke atasnya.
Tulang kita terdiri daripada kombinasi kolagen dan kristal mineral yang terbina daripada kalsium dan fosfat.Matriks kolagen inilah yang membenarkan tulang berkembang dan mengecut tanpa patah.Dalam kata lain,tulang anda akan bertindak balas dan menjadi lebih kuat untuk menahan tekanan yang dikenakan ke atasnya.Jika anda tidak aktif secara fizikal,tulang anda menjadi lebih lemah dan rapuh,mendedahkannya kepada risiko patah.
Impak tinggi
Apa juga senaman yang memerlukan anda mengangkat berat dan melawan graviti dapat membantu mempertingkat dan mengekalkan jisim tulang.Tekanan dari mengangkat berat serta aktiviti tolak-tarik otot akan menggalakkan pembentukan tulang,menjadikannya lebih kuat.
Senaman berimpak tinggi dan menahan berat adalah paling efektif dalam membina tulang yang kuat.Senaman bertujuan membina tulang anda,bukan mematahkannya.Aktiviti seperti berlari,melompat,mendaki,menari dan bermain permainan seperti tenis dan badminton menghasilkan impak yang sama seperti senaman menahan berat.Senaman menahan berat impak rendah seperti berjalan dan aerobik impak rendah pula lebih sesuai bagi yang mereka yang mahu membina tulang kuat tetapi tidak boleh melakukan senaman impak tinggi.
Anda juga boleh melakukan latihan ketahanan dan senaman yang menguatkan seperti angkat berat atau tekan tubi.Namun,anda perlu berjaga-jaga dan dapatkan nasihat doktor atau jurulatih peribadi terlebih dahulu untuk mengelakkan kecederaan.
Bagi yang berusia,penderitaan dari keretakan tulang akibat terjatuh boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menjalani hidup normal.Sehingga 20 peratus mangsa yang mengalami keretakan pinggul meninggal dunia selepas satu tahun manakala dua pertiga yang terselamat pula menjadi individu kurang upaya.Di samping memastikan rumah dan persekitaran anda selamat dari risiko terjatuh,anda juga perlu mengambil inisiatif untuk memperbaiki keseimbangan dan postur badan melalui senaman.Melakukan tai chi memberikan anda lebih keseimbangan,postur dan koordinasi yang dapat membantu anda mengelak daripada terjatuh.
Senaman untuk tulang sihat boleh disesuaikan mengikut peringkat umur dan keperluan. Senaman boleh membantu membina tulang sihat ketika zaman kanak-kanak dan mengekalkannya ketika dewasa.Orang yang berumur dan kerap bersenam juga boleh menguatkan tulang dan mengurangkan risiko patah.Jadi,tidak kira berapa umur anda, atau apa juga keadaan fizikal anda,anda boleh mencari jenis senaman yang sesuai untuk diri sendiri.
Walaubagaimanapun,adalah berbahaya untuk melakukan senaman tanpa mengetahui had anda.Senaman yang berlebihan boleh menyebabkan keretakan akibat stres dan kerosakan sendi.Ada juga senaman yang boleh menyebabkan jatuh dan meningkatkan risiko keretakan tulang.Penghidap osteoporosis dan warga emas boleh meningkatkan risiko kepatahan tulang jika memulakan senaman berat tanpa mendapatkan nasihat doktor atau pakar perubatan.
Penyesuaian
Setiap senaman perlu disesuaikan mengikut keperluan dan keupayaan.Senaman selama 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu adalah digalakkan jika anda mempunyai jisim tulang rendah,menghidap osteoporosis atau berusia lebih 50 tahun.
Berhati-hatilah dengan halangan lazim untuk bersenam seperti malas atau kesuntukan masa.Senaman boleh diterapkan dalam kehidupan untuk menepati keperluan dan gaya hidup anda supaya ia tidak menjadi sesuatu yang membosankan.Jadilah kreatif dan pastikan anda gembira melakukannya.Dengan ini,anda akan dapat meneruskan senaman dengan rela dan bukan separuh hati.