Di hari kiamat ada tiga cahaya yang berlainan :
* Cahaya yang pertama seperti bintang-bintang.
* Cahaya yang kedua seperti cahaya bulan.
* Cahaya yang ketiga seperti cahaya matahari.
Apabila ditanya cahaya apakah ini ? Lalu dijawab :
"Cahaya yang pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka akan meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan.
Yang kedua ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan.
Cahaya yang ketiga ialah cahaya mereka seperti matahari. Mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi."
3 CAHAYA DI HARI KIAMAT
QAILULAH YANG TERSIRAT
Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam ada melakukannya."
Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."
Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.
Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : 'Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate'.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work'. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping'.
Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.
6 PERKARA DORONG BERIBADAT
Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.
Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya.
Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56)
Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.
Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak.
Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma.
Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.
Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong.
Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong.
Kita yang tidak beribadat ini matilah.
Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh.
Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu?
Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)
Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan).
Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita.
Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)
Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa.
Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.
Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat.
Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya.
Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.
Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)
LIMA JENIS SABAR
SABAR adalah satu sifat manusia.
Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.
Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.
Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.
Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian.
Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.
Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)
Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
(1) Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.
Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
(2) Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan.
Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.
(3) Sabar terhadap kemewahan.
Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
(4) Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan.
Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.
Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:
Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.
(5) Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah.
Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci.
Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.
WAKTU YANG MUSTAJAB BERDOA
BERDOA adalah otak ibadat.Begitulah besarnya kedudukan doa.
Lagi banyak kita minta, lagi disayangi Allah dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi, malah dimaki lagi, “tak ada kerja ke asyik minta saja.”
Doa adalah lambang perhambaan kita dan kita dicipta supaya menjadi hamba-Nya.
Berdoa, doa juga, tetapi supaya mudah diterima, kita patut meneliti dan tahu waktu yang sangat mustajab berdoa antaranya:
(1) Waktu sepertiga malam, iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur.
Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (para muttaqin) sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Adz-Dzariyat: 18-19)
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah, iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.
Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
(2) Waktu antara azan dan iqamah, iaitu ketika menunggu solat berjemaah.
Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah, sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.
(3) Pada waktu sujud.
Iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.
Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a.
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda:“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (kabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya.
Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud.
Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
(4) Selepas solat fardu.
Iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu, termasuk selepas solat Jumaat.
Allah berfirman, maksudnya:“Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat.” (Qaaf: 40)
Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardhu.
Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya.
Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.
(5) Pada waktu khusus, tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya, iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.
Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda:“Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.”
Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).”
Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.
Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya di akhir waktu Asar.
Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.wallahhualam
Dicatat oleh Moderator Ilmiah...
KEAJAIBAN AKAL FIKIRAN
SATU unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi.
Islam memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak disebut dalam al-Quran."
Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau lihat gunung itu tunduk serta pecah-belah kerana takut kepada Allah.
Contoh perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya." (a-Hasyr:21)
Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."
Dalam satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Berilah hak matamu di bidang ibadat!"
Sahabat bertanya: "Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai Rasulullah?"
Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran, memikirkan isinya dan mengambil pengajaran keajaiban kandungannya."
Wahab bin Munabih pula berkata: "Semakin tajam seseorang itu berfikir, semakin berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah amalnya."
Al-Ghazali berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia.
Melalui akal, manusia mendapat ilmu.Ibn Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia dengan makhluk lain.
Menurut Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir adalah sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata 'berfikir itu pelita hati.'
Hasan al-Basri r.h berkata: "Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata hikmah."
Lukman al-Hakim berkata: "Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan lebih memahami untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke syurga."
Imam al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit dan asas ilmu.
Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada pokok, cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.
Beliau memberikan empat kategori mengenai akal:
i. Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian haiwan.
Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia.
ii. Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia tamyiz.
Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan harus pada akal.
Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu masa.
iii. Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan pengalaman hidup. i
v. Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat setiap perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara.
Apabila keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil 'manusia berakal' kerana yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap perbuatannya, bukan dorongan hawa nafsu.
Merujuk kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman, perbezaan antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan pengalaman dilalui.
Bagi kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang nafsu.
Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang mungkin berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal lain.
Faktor yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu yang menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu.
Seorang yang berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu kemudaratannya.
Akal fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan Penciptanya.
Penggunaan daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai ketamadunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.
Umat Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan daya fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.
Al-Kindi (801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus, seorang cerdik pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi, kosmologi, logik, matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi.
Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran.
Sejak lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal.
Kehidupan beliau sangat susah, namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.
Pada suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan memerhatikan keadaan sekeliling.
Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi?
Selepas letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah pohon epal.
Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya.
Kejadian itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya.
Mengapa buah itu harus jatuh tepat di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas?
Beliau berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke bawah kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya graviti.
Ia bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan, bintang dan matahari mempunyai daya gravitinya.
Demikianlah dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran.
Bahkan, dengan fikiran yang sihat dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat tahyul dan khurafat.