11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman.Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar.Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya.

Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "

Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan.

Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama

Baca Lagi...

SIFAT TAWADDUK

Sesiapa saja yang jujur kepada petunjuk agama dan reda dengan panduan kehidupan sebagai seorang Muslim pasti tidak sanggup bersikap takbur serta membesarkan diri hanya supaya dipandang tinggi oleh orang lain.

Akhlak mulia bukan dinilai dengan wang ringgit dan harta berbukit tetapi sifat insan yang rendah hati, berbudi bahasa apabila bermuamalat dengan Allah serta manusia seluruhnya.

Tidak dinafikan, hari ini pangkat dan rupa menjadi taruhan walaupun bukan dalam segenap bidang, tetapi ilmu dan takwa jugalah yang berpanjangan dan kekal bertahan.

Walau tidak dapat dinilai dengan mata kasar, penangan ilmu dan manfaatnya kepada orang lain tinggi nilainya,
sehingga mampu mencelikkan hati yang buta dengan kejahilan serta kesesatan.

Justeru, takbur dengan habuan dunia yang sekelumit cuma berbanding ganjaran kekal di akhirat kelak bagaikan perbandingan antara air dan api, yang terlalu jauh bezanya.

Kecantikan, harta benda, nasab dan kedudukan tinggi ketika di dunia yang menjadikan seseorang itu takbur dan berbangga dengan harapan dipuja serta dipuji oleh orang lain akan menghalang pelakunya merasai
kenikmatan hidup di akhirat yang kekal abadi.

Sebaliknya, jika kelebihan direzekikan Allah dimanfaatkan untuk orang lain serta menjadikannya insaf seterusnya menghambakan dirinya kepada pemiliknya yang asal, habuan diterima adalah bonus yang mempunyai kiraan di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di muka bumi dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang bertakwa." (Surah
al-Qasas, ayat 83)

Peringatan Allah itu mengingatkan kita bahawa seolah-olah tiada kehidupan yang baik buat orang sombong dan takbur di akhirat kelak, melainkan hamba-Nya yang bertakwa saja.

Orang sombong tidak disukai Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri." (Surah Luqman, ayat 18)

Dengan menghayati sunnah Rasulullah SAW juga kita akan cepat menyedari Baginda sangat menitikberatkan hubungan baik sesama insan, hormat menghormati serta tidak sombong, walaupun apabila berdepan dengan musuh.

Bahkan sifat pemaaf Baginda SAW sepatutnya menjadi perangsang untuk membina silaturahim dengan sesiapa saja walaupun dengan orang yang sudah menzalimi kita jika ia kembali kepada Allah dan Rasul-Nya.

Apa yang ditonjolkan Rasulullah SAW kepada sahabat dan umat Islam seluruhnya melalui sirah dan kisah sahabat yang disampaikan kepada kita hingga kini adalah demi menjaga umat Baginda supaya tidak menghuni
neraka.

Diriwayatkan daripada Harithah bin Wahab, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku khabarkan kepadamu sikap penghuni neraka, orang yang berperangai kasar, mendabik dada saat berjalan lantaran sombong." (Muttafaq 'alaih)

Orang yang takbur bukan saja menolak kebenaran kerana dunia tetapi juga meremehkan orang lain untuk meninggikan dirinya dan inilah yang dikatakan mendabik dada saat berjalan lantaran sombong.

Hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang ada dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan.

Maka seorang lelaki bertanya: Sesungguhnya seseorang menyukai pakaiannya yang bagus dan seliparnya yang elok.

Nabi menjawab: Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan, sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia."

Seperti orang yang sombong menghina orang lain di dunia begitulah juga di akhirat kelak apabila mereka turut mendapat kehinaan Allah seperti yang dijanjikan.

Allah tidak akan memandang mereka, berbicara dengan mereka atau menyucikan mereka dan inilah kehinaan yang sebenar-benar hina.

Orang yang takbur dengan habuan dunia lupa bahawa sombong adalah pakaian Allah, iaitu hak uluhiyah-Nya yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud:

"Perkasa adalah kain sarung-Ku dan sombong ialah pakaian-Ku, barang siapa menandingi Aku daripada salah satu dari keduanya, nescaya Aku akan menyeksanya."

Bukan mudah mencabut akar umbi kesombongan yang sudah berselirat dalam diri.

Kerana itulah orang bersifat tawaduk cuba untuk menghambakan diri serendah-rendahnya kepada Ilahi untuk menjauhi sikap takbur dan riak.

Hubungan baik sesama manusia juga bertitik tolak daripada hubungan baik dengan Allah. Justeru, orang yang tinggi sifat kehambaannya akan merendah hati apabila bermuamalah sesama makhluk.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Tidak ada seorang pun yang bertawaduk kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan darjatnya."

Sesiapa yang membuka lebaran sirah Rasulullah SAW pasti akan mengetahui keperibadian Baginda yang agung yang menjadi teladan kepada seluruh umat manusia apabila berurusan dengan Tuhan dan manusia.

Usahkan sombong dengan yang Maha Pencipta, Rasulullah SAW juga tidak sombong dengan isteri-isteri, sahabat, pemimpin pada masa Baginda bergelar ketua negara, rakyat jelata, hatta fakir miskin pun Baginda
hormati.

Inilah akhlak yang Baginda pertahankan sesuai dengan pesanan Allah yang dirakamkan dalam wahyu Ilahi kepada Baginda.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku supaya kalian merendah hati, hingga tidak ada orang yang berasa lebih tinggi daripada yang lain dan tidak ada orang yang berbuat zalim kepada yang lainnya."

Baca Lagi...

KUASA MINDA

Umum tahu bahawa sesuatu matlamat perlu mempunyai lima elemen iaitu spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, realisitik dan mempunyai tempoh masa untuk mencapainya. Dale Carnagie, penulis buku 'How to Stop Worrying and Start Living' pula mengatakan bahawa sebenarnya kitalah yang membentuk peribadi kita.Arahan fikiran kita adalah faktor utama yang menentukan perjalanan hidup kita. Apa yang diterima oleh setiap orang adalah akibat terus daripada fikirannya sendiri. Nyata, terdapat perkaitan yang rapat antara lima elemen yang disebutkan di atas dan kuasa minda seseorang. Di sinilah peranan komunikasi di antara minda sedar dan minda bawah sedar (subconscious mind).
Napoleon Hill menggariskan tiga langkah untuk merangsang minda bawah sedar bagi mencapai satu cita-cita. Ambil contoh, kita adalah seorang wakil jualan kereta dan bercita-cita untuk mengumpulkan sejumlah wang. Pertama, pergi ke satu tempat sunyi yang tiada gangguan, contohnya bilik tidur pada waktu malam. Tutup mata dan baca penyataan bertulis yang mempunyai jumlah wang yang ingin dikumpulkan, had masa untuk mencapainya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapai cita-cita tersebut.
Contohnya, jika mahu mengumpulkan RM500,000 pada 1 Januari 2007 penyataan bertulis itu perlu berbunyi, "Menjelang 1 Januari 2007, saya akan mempunyai wang sejumlah RM500,000 yang akan dikumpulkan sedikit demi sedikit dalam tempoh tersebut. Untuk mendapatkannya, saya akan memberikan perkhidmatan yang efisyen dan terbaik atas kapasiti saya sebagai wakil jualan kereta. Saya yakin saya dapat mengumpulkan wang sejumlah RM500,000 jika saya menjual ABC buah kereta dalam tempoh seminggu secara konsisten."
Kedua, ulang langkah pertama tadi setiap pagi dan malam sehingga kita dapat melihat (dalam imaginasi) wang yang ingin dikumpulkan tadi.
Ketiga, letakkan satu salinan penyataan bertulis tadi di tempat yang boleh kita lihat setiap pagi dan malam. Bacanya sebelum tidur dan sejurus selepas bangun pada paginya sehingga dapat dihafal penyataan bertulis itu tadi.
Tiga langkah tadi adalah untuk memberi arahan kepada minda bawah sedar kita. Perlu diingat bahawa minda bawah sedar akan hanya teruja dengan arahan yang beremosi dan penuh dengan perasaan.NAPOLEON HILL sedar bahawa langkah-langkah tadi nampak tidak praktikal tetapi jika dilakukan secara konsisten, kita akan dapat melihat hasilnya satu hari nanti. Itulah kuasa minda.

Baca Lagi...

Iman semut & Iman manusia

IMAN SEMUT&IMAN MANUSIA

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya:


"Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut didalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!!


IMAN MANUSIA?????

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil.

Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia.

Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA,

ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".

Baca Lagi...

Template by : kendhin x-template.blogspot.com