HADIAH DARI TUHAN

Hadiah ialah sesuatu yang menjanjikan kemanisan dan keseronokkan. Tambahan pula jika ia datang dari orang yang kita sayang. Ia akan menjadi lebih bermakna jika kita tidak pernah memilikinya dan sangat mendambakan hadiah itu. Tapi, jika hadiah yang kita perolehi itu ialah sesuatu yang kita pernah atau telah miliki tentu sahaja kita tak akan menghargainya, atau jika kita menghargainya sekali pun, mungkin tidak lama.

Kemanisan mendapat sesuatu yang memang kita dambakan ialah satu kemanisan yang akan menjanjikan satu rasa kebahagiaan dan keseronokkan yang tak mungkin dapat digambarkan. Dan jika hadiah itu rosak atau hilang, kita akan merasakan satu kehilangan yang teramat sangat.

Islam yang terpahat di dalam dada kita merupakan hadiah yag paling berharga dan sangat di dambakan oleh sesiapa sahaja walaupun mungkin kita dan ramai lagi diluar sana yang tidak menyedarinya.

Bagi kita yang sudah dilahirkan sebagai muslim, mungkin ada yang tidak memahami betapa manisnya mengecap nikmat Islam, tapi bagi mereka yang bukan Muslim dan kemudiannya mendapat hidayah untuk memeluk Islam,nikmat Islam itu seumpama setitis air yang sangat didambakan setelah lama kehausan, sebagai seberkas cahaya setelah lama kegelapan.

Ya, kita faham Islam itu agama yang satu-satunya diredhai, tetapi berapa ramai muslim yang hanya pada namanya? Berapa ramai pula yang tidak memikul tugas dan menjadi seperti yang disyahadahkan? Berapa ramai pula saudara baru yang memiliki kefahaman dan pengetahuan mengenai Islam lebih baik dari kita?

Ini kerana mereka faham dan tahu betapa manisnya hadiah dari TUHAN, betapa manisnya menjadi manusia yang terpilih untuk mendapat rahmah dan hidayahNYA. Jadi mereka menjaga hadiah itu lebih baik dan ingin pula berkongsi kemanisan itu dengan mereka yang sudah dan belum pernah atau dapat merasakan kemanisan yang mereka rasai.

Manusia itu pelupa sifatnya. Jadi jika mereka sudah mendapat atau diberi sesuatu itu sejak lahir lagi, mungkin mereka tidak faham nikmatnya hadiah itu. Jadi tinggallah mereka terus menjadi orang-orang yang pelupa.

Janganlah kita menjadi orang yang pelupa,kerana sekali kita terlupa dan biasakan diri untuk terus terlupa, takut-takut kita akan terus tidak pernah ingat betapa indahnya dan manisnya 'hadiah' yang kita perolehnya dengan mudah berbanding mereka yang terpaksa membelinya dengan darah,keringat dan air mata.

Baca Lagi...

ILMU ANTARA VISI DAN MISI

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi(untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami),maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan(yang mengatasi kekuasaan Kami)” ar-Rahman (55:33)

Allah Taala mengisyaratkan secara jelas kepada kita melalui lafaz sul-thon dalam ayat di atas memberi erti kekuasaan, bahawa penguasaan ilmu adalah aset yang paling bernilai dan utama bagi menguasai sesuatu bidang kehidupan di dunia ini. Secara tidak langsung juga mengisyaratkan akan ilmu pengetahuan adalah faktor yang terkuat dalam menjadi perisai paling ampuh dalam diri manusia.

ILMU TERAS MASA DEPAN

Islam menggalakkan umatnya supaya mempelajari dan menuntut ilmu pengetahuan dalam pelbagai lapangan dan bidang kerana ilmu memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan nilai sesuatu tamadun. Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung kuat pada dahan kebijaksanaan pengasas dan pengikutnya dalam menentukan hala tuju seni bina tamadun tersebut. Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam (muslim dan muslimah)” (Hadith Riwayat Muslim)

Selain itu Islam telah menggariskan ilmu sebagai neraca timbang dan batu ukur bagi menentukan jalan yang harus dipilih untuk menuju kebahagian di dunia dan di akhirat. Kecemerlangan ilmu juga memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan nilai-nilai keperibadian seseorang individu yang mana akhirnya mengangkat taraf kehidupan masyarakat dan menjulang nama sesuatu bangsa, negara dan umat Islam secara umumnya.

Perlu diingat bahawa keagungan ilmu mengikut pandangan Islam dalam terokaan sejarah kebangkitan tamadun Islam semenjak zaman baginda s.a.w dipandu oleh al-Quran dan Sunnah baginda Nabi s.a.w bagi mencapai suatu tahap keilmuan cemerlang, dan terbilang bagi meneruskan kesinambungan serta tuntutan agama sepertimana yang disarankan supaya mempunyai sifat ikhlas, terbuka dalam menimba ilmu, dan bersedia berkongsi ilmu dalam memberi pandangan serta bersedia berlapang dada menerima pandangan orang lain. Jika kita ingin mengembalikan sejarah keagungan umat Islam dalam sejarah zaman lampau, maka kita pada hari ini perlulah menguasai kepelbagaian ilmu.

Ilmu-ilmu agama menjadi penyuluh hati, manakala ilmu-ilmu moden pula menjadi cahaya yang lahir dari ketakwaan hati yang disuluh dan pencerah minda yang berjaya mencanang segala bentuk strategi dalam menghadapi musuh-musuh agama. Empayar islam di Andalusia yang diterokai oleh Khalifah Abdul Rahman ad Dakhili yang mula merangkap masuk ke bumi Andalusia pada tahun 755M adalah sebaik-baik contoh kebangkitan tamadun Islam dan ketinggian pusat kajian ilmu-ilmu Islam dalam pelbagai bidang. Pada zaman ini menjadi bukti hasil kebangkitan tamadun Islam yang gemilang itu, apabila telah berjaya melahirkan ramai saintis dan pakar-pakar dalam penyelidikan.

Penemuan di dalam pelbagai bidang bertaraf kelas pertama lagi berprestij seperti perubatan, botani, geografi, fizik, kimia, pembedahan, ahli matematik dan sebagainya. Sebagai contoh, al-Khawarizmi (770-840M) seorang tokoh ahli kaji bintang (astronomi) yang paling terkenal di dunia Islam ketika zaman kegemilangan beliau. Kemampuan tahap penguasaan ilmunya adalah tinggi dan berjaya meninggalkan karya-karya teragung dalam ilmu falak. Beliau merupakan manusia pertama yang berjaya menentukan ukuran dan bentuk bulatan (sfera) bumi.

Ketamadunan yang telah terbina di bumi Andalus tersebut meninggalkan kesan teramat hebat, unik dan teliti susunannya. Ini semua dapat dilihat kebenarannya apabila kita meninjau jauh pada kesan-kesan tapak peninggalan sejarah yang terdapat pada hampir semua bangunan-bangunan lama yang masih kukuh berdiri seperti Istana al-Hamra di Cardova. Lambang seni bina dan seni ukir yang halus pada zaman itu yang masih lagi utuh dan jelas serta membuktikan pernah berlangsungnya suatu tamadun yang cukup hebat dan amat dihormati. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak melarang umatnya menguasai ilmu moden khususnya ilmu sains dan teknologi.

MAHASISWA/WI BERKUALITI DAN RETI

Betapa tabah dan cerdik para cendikiawan dan para ilmuan Islam dalam mencernakan ilmu yang dipelajari untuk dicanang dalam kehidupan seharian, dengan berjaya mencipta pelbagai kemudahan untuk kegunaan manusia pada zaman tersebut. Betapa cekal dan sabar mereka melakukan ulangan serta kajian berterusan sehingga beratus-ratus kali percubaan eksperimen, dan tidak berputus asa walaupun ada kalanya mereka terpaksa menerima hakikat yang sedikit mengecewakan di akhir perjalanan.

Namun bagaimana pula kita melihat kesungguhan mahasiswa pada zaman ini, adakah sama dengan apa yang telah dipertontonkan oleh mereka? Justeru itu, semangat dan perjuangan perlu dimulakan pada saat ini. Terutama di kalangan para ilmuan, di mana mereka tidak perlu alpa, dan leka serta membuang masa dengan hanya berpeluk tubuh bagaikan orang tidur disorongkan bantal tanpa perlu berusaha mencari kelainan dalam memahatkan sejarah pada catatan diri sendiri yang bisa menjadi sebutan masyarakat disekeliling.

Umat Islam perlulah berhenti menyalahkan orang lain sepanjang hidup mereka. Sikap inilah yang akan melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri serta membantutkan usaha-usaha untuk membangunkan kembali ketamadunan silam. Kerana sikap inilah juga akan mencetuskan perpecahan sesama mereka dengan berlaku perkara-perkara yang merugikan keseluruhan umat Islam. Inilah usaha-usaha yang telah ditabur oleh barat yang dirancang secara terperinci, halus dan rapi untuk melihat Islam terus ketinggalan dan luput dari sejarah kegemilangan terdahulu.

Maka hendaklah umat Islam itu berubah secara keseluruhan dan sedar dari lamunan yang berpanjangan, dengan bangkit memberi sumbangan sosial, tenaga, buah fikiran, dan berkorban dalam satu barisan serta menggembleng arah tuju yang sama lagi mantap. Jalan-jalan inilah yang akan menyelamatkan mereka dari terjatuh ke dalam lubang-lubang kehinaan dan kemunduran yang telah diciptakan oleh pihak barat.

KESAN KEJATUHAN KERAJAAN ISLAM DI TURKI

Sejak kejatuhan pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah secara rasminya kepada rejim yahudi Mustapha Kamal Attartuk pada tahun 1924M sehinggalah kini, bermakna sudah hampir 85 tahun umat Islam kehilangan arah tuju dalam erti kata yang sebenar, dan masih lagi di dalam kerabaan malam yang bersuluh malap mencari jalan pulang. Bagaikan hilang tempat berpaut, suatu ungkapan bidalan yang cukup sinonim dengan situasi sekarang, sesuai menggambarkan keadaan umat Islam selepas keruntuhan sistem pemerintahan terakhir umat Islam sejak dari zaman pemerintahan agung Baginda Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat.

Dalam kejatuhan yang tiada berpenghujung, pihak Barat telah mengaburi umat Islam dengan pelbagai usaha dan dakyah dalam usaha untuk memesongkan cara berfikir umat Islam, dan yang lebih jauh lagi memesongkan akidah yang tulen dengan menyogok fahaman sekular yang berkonsepkan pemisahan agama dari urusan kehidupan dan pemerintahan. Maka jelaslah, pihak barat telah berjaya memisahkan kebanyakan umat Islam dari mempunyai minat dan kesungguhan di dalam menguasai ilmu-ilmu Islam, sains dan teknologi, paling menyedihkan dari mengamalkan ajaran yang sebenar.

Menghadapi cabaran Barat seharusnya menjadi agenda utama umat Islam di samping tidak meninggalkan perkara-perkara penting yang lain. Bersatu di bawah satu matlamat bagi mendaulatkan Islam di bawah satu panji berlatarbelakangkan konsep Islamiah dalam kehidupan. Umat Islam perlu memperkasakan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu dan kebolehan terutama yang berkait rapat dengan jalur lebar teknologi, penyiaran, bidang kejuruteraan, sains, biologi, bio-kimia, angkasa lepas (astronomi), dan sebagainya. Tanpa mengalpakan ilmu-ilmu yang lain yang terlebih utama, seperti ilmu-ilmu fardhu ain dan segala macam ilmu dalam agama yang berkaitan Fekah, Tafsir, Hadith, Bahasa Arab, dan sebagainya.

Dengan peranan ilmu inilah yang akan menjadi pelita sebagai garis panduan kita menuju kepada Allah Taala. Umat Islam perlulah bergerak dalam satu garis panduan yang terancang dan bukan mengikut arus gelombang sentimen dan emosi, dengan meletakkan cernaan akal yang sihat dalam berfikir di hadapan sebelum melakukan sebarang tindakan agar apa-apa sahaja yang dilakukan tidak terbabas lantas merosakkan langkah-langkah perancangan yang seterusnya. Ingatlah kita adalah pencetus pada satu reformasi bersepadu dalam melahirkan generasi celik dan berfikiran matang di dalam menongkah arus perdana yang kian mencabar.

Maka di sana, penguasaan ilmu yang mantap dan mengamalkannya dalam kehidupan adalah senjata paling ampuh untuk menangkis pancaroba yang datang menyerang bila-bila masa dan tempat. “Ya Allah Tuhan Maha Esa, bimbinglah hati-hati kami mencari keredhaan-Mu, bukan menempah kemurkaan-Mu” ameen....

Baca Lagi...

MAKNA AIR MATA INSAN

PERNAHKAH anda menangis?

Jika menangis,apakah punca dan sebabnya?

Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.Allah yang menciptakan ketawa dan tangis.Banyak air mata mengalir di dunia ini.

Sumbernya dari mata,mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering.Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus.Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti Kalaulah air mata itu terkepung seperti air hujan,banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:

1.Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati.
2.Menangis kerana rasa takut.
3.Menangis kerana cinta.
4.Menangis kerana gembira.
5.Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6.Menangis kerana terlalu sedih.
7.Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8.Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9.Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10.Menangis orang munafik yakni pura-pura menangis.

Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.Ini disahkan oleh Nabi s.a.w dalam satu hadis.

Rasulullah bersabda,maksudnya:

“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka.Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan,apabila seorang daripada suatu kaum menangis,maka kaum itu akan dirahmati.Tidaklah ada sesuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah.Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa,malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-Nya sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata,sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara,iaitu:Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.Aku tidak tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.

Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah.Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan,malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah s.a.w dalam sabda yang bermaksud:

Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara,iaitu:

1.Apabila dahinya berpeluh.
2.Air matanya berlinang.
3.Hidungnya keluar cecair.

Simpanlah air mata tangisan itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri,segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah s.w.t. Justeru,serulah air mata itu daripada persembunyiannya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis,membasahi dan mencuci hati,sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-Nya.

Baca Lagi...

RAHSIA KHUSYUK DALAM SOLAT

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf,sangat warak dan khusyuk solatnya.
Namun,dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya,demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari,Isam menghadiri majlis seorang a'bid bernama Hatim Al-Assam dan
bertanya,'Wahai Aba Abdurrahman,bagaimanakah caranya tuan solat?'

Hatim berkata,'Apabila masuk waktu solat,aku berwudhu' zahir dan batin.'

Isam bertanya,'Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu? '

Hatim berkata,'Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air'.
Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara:-

1)Bertaubat
2)Menyesali dosa yang telah dilakukan
3)Tidak tergila-gilakan dunia
4)Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
5)Tinggalkan sifat berbangga
6)Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7)Meninggalkan sifat dengki.'

Seterusnya Hatim berkata,'Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan aku sedang berhadapan dengan Allah,

Syurga di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku,Malaikat Maut berada dibelakangku,dan aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.'

'Setiap bacaan dan doa didalam solat,aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk,aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.'

Apabila Isam mendengar,menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Baca Lagi...

SIFAT-SIFAT PENDAKWAH

Dakwah Islamiah pada mulanya adalah merupakan tugas para Rasul yang kemudiannya dilaksanakan oleh Alim Ulama'. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa kebahagiaan setiap umat sedikit sebanyak bergantung pada Alim Ulama'. Apabila mereka baik, maka baiklah manusia dan apabila mereka rosak nescaya rosaklah manusia. Ini bererti tanggungjawab Alim Ulama' amatlah besar,dan tugas mereka itu amatlah berat, lebih-lebih lagi kalau mereka menjadikan dakwah (tabligh) sebagai tugas khusus mereka. Pendakwah mesti ada mempunyai sifat-sifat di antara lain seperti berikut :

1.Memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis.
2.Beramal dengan ilmunya.
3.Tahan marah (berlapang dada)
4.Berani,tidak takut kepada sesiapapun dalam menerangkan kebenaran. Celaan manusia tidak akan menghalangnya daripada menjalankan kewajipan.
5.Menjaga diri,tidak mahu kepada harta kepunyaan orang.
6.Berpada-pada dengan kesenangan dunia dan redha dengan harta yang halal walaupun sedikit.
7.Kuat,sihat dan fasih lidah.
8.Mengetahui perkara-perkara di bawah ini :
(a)Hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah,persekitaran dan sosialnya.
(b)ilmu sejarah umum.
(C)Ilmu Psikologi.
(d)Ilmu Geografi.
(e)Ilmu Akhlak
(f)Mazhab-mazhab,aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah.
(g)Bahasa orang yang menerima dakwah.
(h)Ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.
9.Amat mempercayai kepada janji-janji Allah dan mempunyai harapan penuh untuk mendapat kejayaan biar pun usaha dakwah itu memerlukan usia yang lama dan memerlukan pengorbanan yang besar.
10.Tawadu'(merendah diri)dan menjauhkan diri daripada perkara
yang aib.
11.Tidak bakhil mengajarkan apa-apa ilmu yang diketahuinya. Tidak keberatan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada orang lain.
12.Bersifat wakar dan tenang.
13.Tinggi hemat dan mulia diri. Tidak berpuashati dengan perkara-perkara besar yang belum sampai kepada kesempurnaannya dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara hina dan marah ketika disedari dirinya serba kekurangan pengetahuan atau bukti.
14.Sabar ketika menjalankan dakwah kerana Allah.
15.Bersikap Taqwa dan Amanah.

BERSIFAT WAKAR DAN AMANAH
Sifat wakar ada pada ;
(a)Orang yang tidak bercakap sesuatu yang sia-sia,sekiranya perlu bercakap dia akan hanya bercakap sekadar yang perlu sahaja.
(b)Orang yang menggunakan gerak-geri bagi menyatakan sesuatu maksud.
(c)Orang yang sedia mendengar segala pertanyaan dan berhati-hati ketika menjawab.
(d)Orang yang tidak gopoh dalam segala perkara.

Di samping itu sifat wakar ini juga dapat menggambarkan ciri-ciri ;
(a)Memelihara diri daripada senda-gurau yang tidak sopan.
(b)Tidak bergaul dengan orang yang suka bergurau dan menghindari majlis mereka.
(c)Menahan lidah daripada menyebut perkataan yang buruk.
(d)Tidak menunjuk-nunjuk diri tanpa sebab yang munasabah seperti duduk di jalan atau di pasar.

Sifat-sifat yang ditonjolkan begini menarik minat orang ramai kerana keperibadian dan akhlak serta kemuliaannya.

Baca Lagi...

SEBAR NIKMAT IMAN & ISLAM

Futur ataupun terhenti dalam menjalankan aktiviti dakwah; menyeru kepada kebaikkan dan mencegah kemungkaran, sudah seringkali kita dengar dan lihat dengan mata dan telinga kita sendiri.

Begitulah keadaan para pendakwah masa kini, ia bukan fantasi tetapi realiti yang sedang dan akan terus terjadi. Ya memang benar, keinginan, semangat dan kekuatan kita akui kadang-kala turun dan kadang-kala meningkat.

Begitu juga dengan iman kita, sepertimana yang dikatakan oleh Imam Bukhari dalam sebuah riwayat, beliau berkata, “Iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.”

Imam Ahmad pernah ditanya tentang makna bertambah dan berkurangnya iman? Kemudian beliau menjawab dengan menukilkan ucapan dengan sanadnya sampai kepada ‘Umair bin Hubaib, dia berkata:
“Jika kita ingat Allah, memuji-Nya, bertasbih kepada-Nya, maka demikianlah bertambahnya. Dan jika kita lalai, melupakan-Nya, menyia-nyiakan-Nya maka itulah berkurangnya” - (Aqidatus-Salaf wa Ashabul-Hadis, hlm:265-266)

Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang, tetapi untuk berhenti terus dari melakukan dakwah adalah perkara yang amat mendukacitakan. Sesungguhnya manusia diciptakan adalah untuk menjadikan khalifah di bumi. Dan sebagai khalifah salah satu tugasnya ialah menyampaikan risalah tauhid, menyeru kepada kebaikan, dan mencegah perkara-perkara yang mungkar.

Firman Allah,
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (al-Imran 3:104)

Kita akui bahawa aktiviti dakwah ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai rintangan dan tribulasi akan mendatang bagi memadam aktiviti dakwah ini dari terus bersinar. Perkara ini pernah diutarakan oleh Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam sebuah artikel beliau yang bertajuk bertajuk kewajipan generasi muda islam hari ini.

Kata beliau, “Tanggungjawab ini semakin bertambah berat atas ahli dakwah, engkau akan mendapati rintangan-rintangan itu sehingga dalam rumah-rumahmu sendiri, mungkin engkau mendapati ayahmu, saudaramu, sahabat-sahabatmu atau manusia yang lebih dekat darimu yang akan menghalangmu dan mengatakan kepadamu: “mengapa engkau berbuat demikian? Mahukah engkau dipenjara? Mahukah engkau ditangkap? Mahukah engkau diseksa? Mahukah engkau begini dan begitu?”

Namun, adakah kekangan-kekangan ini yang menjadikan kita berduka-cita? Tidakkah kita pernah terhibur dengan ganjaran-ganjaran besar yang pernah Allah tawarkan kepada mereka yang menyeru kebajikan dan mencegah kemungkaran?


Malahan Allah menggelar para penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran ini sebagai sebaik-baik manusia.

Firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Seharusnya kita berulang-ulang memperingatkan diri, bahawa jangan sesekali mengkhianati tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam masa yang sama jangan sekali lagi membiarkan diri kita untuk tidak dipercayai oleh malaikat, sepertimana yang mereka pernah suarakan kepada Allah pada permulaan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (al-Baqarah 2: 30)

Teruskanlah berpesan-pesan kepada kebaikan, dan penuh dengan kesabaran. Jangan menjadi Muslim yang pentingkan diri, merasa nikmat Iman dan Islam bersendiri. Islam melarang menjadi Muslim yang pentingkan diri sendiri, Islam menyuruh umatnya menyebarkan dua nikmat tersebut iaitu Iman dan Islam kepada seluruh manusia.

Rugilah sesiapa yang menikmati Iman dan Islam bersendirian, kecuali jika mereka berkongsi bersama nikmat tesebut dengan menjalankan aktiviti dakwah. Sepertimana firman Allah,
“Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. (al-Ashr 103: 2-3)

Bagi para pendakwah yang masih tetap berdegil untuk futur atau berhenti dari jalan dakwah ini, biarlah firman Allah ini mengejutkan mereka kembali.
“Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”

Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah melaknat Bani Israil yang tidak melarang perbuatan mungkar yang berlaku di sekeliling mereka. Mengapa ia terjadi? Kerana di kalangan mereka tidak ada lagi yang menjalankan aktiviti dakwah, mereka telah futur dalam gerakan dakwah; menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Adakah hal sedemikian kita mahu ia berlaku sekali lagi pada diri kita?

Ayuh semua, kita rapatkan saf, kita kukuhkan jentera kekuatan, kita kuatkan semangat. Agenda dakwah ini tidak harus terhenti, kerana agenda ini adalah tugas yang cukup mulia.

Para Nabi dan Rasul telah melaksanakan kewajiban dakwah mereka, kini tugas itu harus digalas dan diteruskan oleh kita semua. Jangan biarkan lelah-lelah, kekangan-kekangan itu membuatkan kita terus jauh dari jalan dakwah ini kerana pertolongan Allah dekat dengan kita.


Kesusahan itu hanyalah secebis dugaan, dan beruntunglah mereka yang mendapat dugaan dari Allah. Firman Allah,
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Baca Lagi...

SUNNAH BERSIWAK

Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan,malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wudhuk,kebersihan pakaian dan tempat ibadat.Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani,sehingga pakaian,kediaman dan persekitaran,harus dipastikan bersih.Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud:
"Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah(sunnah);memotong misai,memelihara janggut, bersugi,memasukkan air ke hidung,memotong kuku,membasuh sendi-sendi,mencabut bulu ketiak,mencukur bulu ari-ari,bersuci dengan air(beristinja)."
(Hadis riwayat Muslim)


Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi,kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud:
"Jika tidak menyusahkan ke atas umatku,aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi(menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat."
(Hadis riwayat Muslim)


Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi,dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam,bahkan baginda menyatakan:
"Bersiwak itu menyucikan mulut,diredhai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi,dipanggil kayu siwak. Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi,paling kurang dua kali sehari.Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar:
"Nabi bersiwak(menggosok gigi)pada permulaan siang dan akhirnya."


Namun,kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari.Sehubungan dengan ini,Amir bin Rabiah melaporkan:
"Aku melihat nabi menggosok gigi(berulang-ulang kali)sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa."
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi)

Ulama' terkenal Arab Saudi,Syeikh M S Al-Munajjid,berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.Menurutnya,satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf(silam)seperti Ishaq ibn Rahawayh,berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak,kerana baunya harum,malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi. Jika ranting pokok arak tidak diperoleh,tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.Jika bahan itu tidak diperoleh,mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak(salvadora persica)berlaku sejak berkurun yang lalu,kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.Justeru itu,Pertubuhan Kesihatan Dunia(WHO)dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi.Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit,apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.Malah,penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok,sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan,selain bahan antiseptik,astringen,pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut.Waktu melakukan siwak,iaitu:

1.Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

2.Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga.Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata:
"Apabila baginda memasuki rumah,perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak."
(Hadis riwayat Muslim)

3.Apabila bangun dari tidur.
Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

4.Apabila bau mulut seseorang berubah,sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

5.Ketika ke masjid.Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat.Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf,maksudnya:
"Wahai anak-anak Adam!Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat(sembahyang)."

6.Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.
Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa,cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari,dengan sesetengahnya mengatakan makruh.Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak.Satu pendapat,iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan:
"Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut,turun (dari untanya),apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."


Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah,jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri.Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah. Sesetengah ulama berpendapat,apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah,dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran,sepatutnya dengan tangan kiri.

Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w,ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Baca Lagi...

Template by : kendhin x-template.blogspot.com